Tuesday, October 26, 2010

tsunami lagi di kepulauan mentawai

Posted by norzillawatie binti zahidin at 8:34 PM


JAKARTA: Ombak tsunami meragut nyawa sekurang-kurangnya 113 orang, manakala 502 orang yang lain dilaporkan hilang selepas melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, semalam, berikutan gempa bumi yang kuat meratakan sejumlah kampung di tepi pantai. Usaha mencari masih diteruskan di kawasan terjejas teruk iaitu di Pulau Pagai Selatan, Pulau Sipora dan mukim Sipora Selatan.Kebanyakan bangunan dan kediaman di kampung Betu Monga musnah, kata pegawai di pejabat wilayah Jabatan Perikanan, Hardimansyah.

“Daripada 200 orang penduduk kampung hanya 40 saja ditemui. Seramai 160 yang lain dilaporkan hilang, termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.

“Kami menerima laporan daripada penduduk bahawa mereka gagal menyelamatkan anak masing-masing kerana pukulan ombak terlalu kuat. Kebanyakan penduduk yang ditemui dalam tangisan mengenang kehilangan sanak saudara mereka.”

Hardimansyah berkata, 80 peratus dari rumah di kampung itu musnah dan bekalan makanan hampir kehabisan. Seorang pegawai badan bukan kerajaan Yayasan Citra Mandiri Mentawai, Rachmadi, berkata sejumlah kampung di di pantai barat Pulau Pagai Selatan rata dipukul ombak.

Polis di Mentawai berkata, pihaknya bersama sukarelawan sedang mencari mereka yang hilang. Pos bantuan bencana juga sudah didirikan bagi menyalurkan bantuan.
“Kami menjangka ramai penduduk akan memerlukan makanan dan tempat berlindung. Hujan sudah mula turun lebat dan angin sangat kencang di sini,” kata Ronald, pegawai polis di daerah Sikakap.

Ketua pusat menangani krisis di Kementerian Kesihatan Indonesia, Mujiharto berkata ombak tsunami yang melanda kepulauan Mentawai itu adalah setinggi tiga meter.

“Kebanyakan kawasan terbabit tidak mempunyai ramai penduduk. Namun pihak kami menyediakan 200 beg mayat.”

Gempa bumi lewat kelmarin yang mencetuskan tsunami berkenaan berukuran 7.7 skala Richter dan berpusat di dasar laut 78 kilometer di barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai.

Gempa bumi itu berlaku di garis gelincir sama dengan gempa bumi 9.1 skala Richter di Aceh yang mencetuskan tsunami besar di lautan Hindi pada 2004 hingga meragut 230,000 nyawa di berpuluh negara.

Kepulauan Mentawai yang dapat perhatian mendadak berikutan tsunami terbaru ini sudah lama menarik pelancong tetapi sudah mula dilupai.

“Pulaunya dengan pasir putih, sangat indah tetapi sepi. Pengunjung di sana seolah-olah memiliki pulau itu,” kata seorang pelancong yang baru kembali dari bercuti di kepulauan berkenaan.

Keindahan Kepulauan Mentawai memang dianggap luar biasa. Pasir putih menghampar, laut biru berhiaskan terumbu karang. Sementara kesenian penduduknya terutama suku Mentawai dikenali di seluruh dunia.

Pulau utama di kepulauan Mentawai ialah Pulau Siberut. Feri dari Padang boleh menghantar pengunjung ke sana dalam masa 10 jam.



0 comments:

lagu saya

Celine Dion - The Power Of Love

Powered by mp3soup.com


Get your own Digital Clock

 

ohzila lova Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea